BUDAYA CAKAP KASAR



BUDAYA CAKAP KASAR

Budaya cakap kasar yang diamalkan oleh satu komuniti masyarakat didalam Malaysia menarik perhatian saya untuk membuat satu pembetulan budaya. Mungkin sudah menjadi kebiasaan atau “lemak” yang membuatkan masyarakat ini saling memaki antara satu sama lain. Mungkin juga budaya ini sudah diwarisi oleh orang terdahulu.

Sudah rasa tidak berdosa apabila “memaki” atau mengeluarkan kata-kata kesat kepada kawan-kawan, saudara, adik-beradik mahupun ibu bapa sendiri. Bagi mereka ini adalah loghat bahasa yang menjadi kebanggaan dalam kebudayaan mereka biarpun adat tersebut telah banyak merosakkan hubungan semasa saudara dan keluarga.

Adakah kurangnya didikan moral atau mereka memang gemar berhadapan dengan keadaan seperti itu?. Itulah persoalannya. Adakah kurangnya didikan agama atau merasakan diri mereka betul ?. Hal ini amat menarik perhatian saya.

Budaya cakap kasar sebenarnya bukanlah asing dalam masyarakat kita dan memang kita selalu melihat ada orang memarahi seseorang atas satu kesalahan. Ya, memarahi seseorang yang melakukan kesilapan adalah sesuatu yang normal. Tetapi memarahi orang tanpa sebab yang munasabah adalah sesuatu yang tidak normal.

Adakah mereka tidak mahu “kepala mereka dipijak” yang membuatkan mereka menjadi begitu?. Ya, besar kemungkinan dalam situasi budaya cakap kasar ini mereka tidak mahu orang lain pijak kepala mereka dan memastikan mereka berasa berada ditahap yang digeruni.

Jika kita melihat dari segi sosial terutama di kawasan masyarakat ini kita akan dapat melihat keadaan wajah mereka yang masam dan tidak senyum kepada orang lain. Dan kehidupan seharian mereka juga seperti juga masyarakat lain seperti bersukan, gotong-royong dan lain-lain. Tetapi dalam kemasyarakatan tersebut mereka lebih selesa buat hal sendiri.

PERPECAHAN PERSAUDARAAN

Masyarakat ini lebih cenderung perbalahan antara keluarga, malah lebih teruk berlaku putus hubungan sesama saudara. Adakah ini sesuatu tradisi yang normal ?. Sudah tentu tidak. Bayangkan anda hidup dalam konflik kekeluargaan setiap hari dan apakah kesannya kepada anak-anak?. Sudah tentu anak-anak juga turut menjadi mangsa dan berada dalam keadaan tertekan. Akibatnya anak-anak akan mengikut jejak langkah ibu bapanya. Anak mana yang berada dipihaknya maka anak itulah yang disayang dan menghalalkan apa saja kata-kata kesat yang keluar dari mulut seorang anak asalkan berpihak kepadanya.

Apabila ini berlaku akan wujud satu tabiat dan akan merebak kepada anak cucu yang seterusnya. Maka berlakulah satu komuniti yang berpecah belah kerana mulut. Lidah kita jika tidak dijaga akan akan menjadi lebih tajam seperti mata pisau yang mampu membunuh jiwa insan.

Bagi mereka ini adalah perkara biasa tetapi bagi pendapat orang luar ini adalah perkara luar biasa dan tidak boleh diterima oleh masyarakat yang harmoni. Pandangan orang luar amat berbeza mengenai budaya ini kerana perpecahan persaudaraan bukan satu perkara yang baik.

Mereka hidup di dalam keegoan mereka sendiri yang tidak mahu mendengar pendapat atau nasihat daripada orang lain. Mereka hanya mendengar pendapat yang tidak bagus dari sebelah pihaknya sahaja. Berilah apa sahaja tazkirah , hadis-hadis , nasihat atau sebagainya mereka tetap tidak akan mendengar. Kerana budaya ini sangat kuat dalam hati mereka. Bagi mereka, apa yang mereka lakukan adalah betul dan apa yang orang lain buat adalah salah.

Sikap cemburu mereka juga amat kuat terutama melihat kemewahan yang dikecapi oleh saudara terdekat malah saudara kandung sendiri. Secara rasionalnya jika saudara kita mengecapi kejayaan kita juga turut gembira atas kejayaan tersebut tetapi bagi mereka jika tidak berada dipihaknya pasti akan dikecam oleh mereka.

Apabila kita berada di dalam komuniti ini kita terpaksa akur dengan budaya tersebut sedangkan kita sedar perkara tersebut tidak baik untuk diamalkan dalam kehidupan seharian. Lama kelamaan kita menjadi tertekan kerana tidak boleh masuk kepala dan mula rasa tidak sehaluan dengan mereka.

WARISAN TURUN TEMURUN

Mereka memang tidak diajar bagaimana untuk berkomunikasi dengan baik dan cara hidup bermasyarakat. Mereka lebih gemar hidup dalam kelompok mereka sahaja dan kehidupan seharian seperti itu membuatkan minda mereka tidak terbuka luas. Apabila kerap berlaku konflik kekeluargaan anak-anak menjadi mangsa makian mereka. Bayangkan dari peringkat umur 1 tahun sehingga dewasa mendengar kata-kata kesat orang tua dan saudara sulungnya. Lama kelamaan ia menjadi satu ikutan budaya yang tidak sihat.

Meningkat remaja pergaulan mereka menjadi lebih agresif sesama mereka. “babi, laknat, cibai..” semua adalah tatabahasa wajib bagi mereka. Bagaimana jika mereka berada dialam perkahwinan ?. Adakah pasangan mereka esok mampu tahan mendengar ungkapan seperti itu. Sebagai manusia normal sudah pasti tidak sanggup mendengarnya, tetapi bagi mereka itu adalah perkara biasa.

Sebagai contoh kita mengahwini saudara perempuan mereka, sepanjang perkahwinan kita selalu mendengar ungkapan kata-kata kesat kepada kita. Sudah tentu kita tidak biasa dan merasakan tidak dihormati oleh pasangan apatah lagi kita sebagai seorang suami.

Membebel dalam rumahtangga adalah sesuatu yang biasa tetapi mengeluarkan kata-kata kesat atas kesalahan kecil adalah tidak munasabah. Sejauh mana si suami mampu bersabar menghadapi semua ini?. Segala teguran si suami kepada isterinya hanyalah akan merumitkan keadaan dan lebih parah lagi akan membawa kepada penceraian.

Si mertua pasti akan menyalahkan si menantu kerana hal tersebut tanpa sebarang usul periksa. Pastinya sesuatu yang amat menyedihkan buat si menantu kerana gagal membetulkan keadaan. Apabila berada di dalam kelompok ini si menantu menerimanya dalam keadaan terpaksa. Kesannya berlaku pertelingkahan keluarga setiap hari tanpa dihiraukan oleh pihaknya.

SIMBAH MINYAK DALAM API

Kelompok ini boleh dikategorikan sebagai MINYAK. Dalam tubuh kita terdapat unsur api yang mana wujud perasaan marah. Bagaimanapun unsur api boleh dikawal dengan sikap sabar. Tetapi apa yang akan berlaku jika API disimbah dengan MINYAK?. Sudah tentu API bertambah marak dan boleh merosakkan diri.

Jika api disimbah dengan air pasti dapat memadamkan api kemarahan dengan cepat. Sedihnya budaya ini sangat susah ditinggalkan oleh komuniti tersebut. Masa berganti masa akhirnya ia menjadi satu tabiat dan budaya yang tidak baik untuk diwarisi kepada anak cucu.

Semua orang termasuk komuniti ini mahu keluarga yang bahagia tetapi bagaimana hendak mencapai kejayaan tersebut jika tidak mahu meninggalkan budaya yang diwarisi itu. Apatah lagi tidak menjaga hubungan dengan tuhan, sudah pasti akan terus berada di dalam permasalahan tersebut.

Sanggup memfitnah supaya maruah diri terjamin sedangkan perbuatan itu mampu membunuh jiwa sesorang yang lain. Itulah dia keegoan ditahap tertinggi yang hanya menjahanamkan diri sendiri. Kaya atau miskin mereka tetap sama jika tiada nilai-nilai moral dalam diri mereka. Mereka lebih pentingkan diri mereka sendiri dan tidak mahu mengambil kisah hal sekeliling mereka. Jika ada sesuatu isu merekalah pakar dalam hal “menegakkan benang yang basah.”

Tidak boleh ditegur atau dinasihati pasti wajah mereka berubah menjadi masam-masam kemerahan seperti kena sembelit. Mereka akan tetap dengan pendirian mereka bahawa mereka berada di jalan yang betul dan pendapat orang lain tidak boleh diterima pakai.

PUNCA

Punca segala permasalahan ini ada dari keegoan keluarga yang suka duduk dibawah tempurung. Mereka tidak mahu belajar dari kesilapan. Saya berikan contoh satu situasi yang boleh anda nampak dengan lebih jelas:

SITUASI ( A ) ABDUL (Orang luar) dan ANI (mereka)

ABDUL: “Ani… hati-hati jalan tu.. depan tu ada lubang..”

ANI: “Eh… aku tahulah nak jalan sendiri.. ko susah kenapa?.”

Tiba-tiba si Ani terjatuh dalam lubang tersebut

ABDUL: “Aku dah bagitahu depan tu ada lubang…”

ANI: “Ini ko punya punca… kalau aku tak layan cakap ko aku tak jatuh dalam ni..”

ABDUL: “Aku dah nampak lubang tu… sebab tu aku bagi amaran tadi..”

ANI: “ tak ada maknanya.. kalau aku tak layan cakap ko tadi.. aku mesti tak jatuh… ini semua ko punya pasal.. babi betullah ko ni.. susahkan hidup aku je…”

Dalam situasi ini Abdul cuba memberikan amaran tentang bahaya yang berada di hadapan tetapi Ani tidak mahu mendengar. Akibatnya Ani terjatuh dalam lubang tersebut dan menyalahkan Abdul atas kejadian yang berlaku. Adakah ia adil ?.

Apa yang menariknya mereka tetap tidak akan mengakui kelemahan dan kesilapan diri sendiri.

PENYELESAIAN

Tradisi ini perlu dihentikan dan tidak boleh diteruskan supaya tidak diwarisi kepada anak cucu kita nanti. Memang agak sukar untuk kita menasihati kelompok ini kerana keegoan yang amat tinggi dalam diri mereka.

Yang boleh mengubah mereka adalah diri sendiri dan yang paling penting semua ini adalah didikan awal ibu bapa. Terapkan unsur-unsur keagamaan dalam diri sendiri supaya dapat membuang segala keegoan yang sudah sebati dalam diri.

Dalam dunia ini tiada hasil yang tidak baik jika kita berbuat kebaikan, buat baik hasilnya baik. Mereka perlu buat perubahan drastik agar anak-anak tidak mengikut jejak langkah mereka sekaligus dapat mencipta satu keluarga yang bahagia.

Persoalannya adakah mereka mahu untuk berubah?. Sudah pasti tidak, mereka sukar untuk berubah. Mereka akan tetap dengan pendirian mereka yang mempunyai sifat keegoan yang tinggi.

Kamu tunjukkanlah sikap dan tauladan yang baik kepada mereka, bagi mereka sikap baik kamu terhadap mereka adalah satu kemestian dan tidak boleh membuat kejahatan kepada mereka. Peluang untuk mereka berubah amat tipis kerana mereka mempunyai mastermind mereka iaitu saudaranya.

KES-KES MENARIK

Banyak kes telah dilaporkan mengenai komuniti ini terutama kes penceraian. Jumlah yang amat tinggi berbanding komuniti lain. Bagi mereka kamu tidak suka dengan mereka itu kamu punya pasal sedangkan masih ada lagi jalan penyelesaian lain.

Kes bergaduh sesama mereka juga banyak dilaporkan. Pergaduhan adik beradik sehingga berlaku putus saudara dikalangan mereka. Mereka tidak kisah jika hal ini berlaku kerana bagi mereka perkara ini amat menyenangkan mereka kerana tidak mahu merunsingkan kepala mereka dan mereka dapat hidup sengan tenang.

MISTERI

Misteri budaya komuniti ini sentiasa berlegar-legar dalam kepala saya. Apakah yang mereka mahukan dalam hidup mereka?. Tidakkah mereka diajar dengan didikan agama yang memberitahu kita tentang kehidupan yang kekal abadi iaitu Syurga dan Neraka.

Majoriti kesemuanya bersikap demikian yang hidup dalam keegoan diri sendiri. Sanggup menunjuk kekayaan walaupun miskin. Ibarat kata pepatah “Orang Miskin Lupa Daratan”. Jika orang kaya bersikap begitu tidaklah pelik tetapi orang miskin bersikap begitu sesuatu yang menyedihkan.

Mereka hidup mengharapkan bantuan orang lain dan tidak akan berterima kasih dengan bantuan yang diberikan kepada mereka.

WUJUD

Ya, komuniti ini memang wujud dalam sebuah negeri di Malaysia. Kehidupan sosial mereka normal seperti masyarakat lain. Mereka mempunyai sejarah yang terbilang suatu masa dahulu tetapi sekarang semuanya hanya tinggal sejarah sahaja.

Mungkin sejarah lama mereka yang gah membuatkan masyarakat ini berasa mereka adalah bangsa yang hebat dan digeruni. Tanah bendang semua sudah tergadai, harta sekangkang kera menjadi rebutan sesama mereka.

Setakat ini sahaja perkongsian yang dapat saya kongsikan kerana saya berada dalam komuniti ini sudah lama dan akan sentiasa menjadi tanda tanya kepada diri saya.

Sistem Angka Pertama Orang Melayu



Saya rasa tentu ramai generasi muda hari ini beranggapan bahawa sistem angka diperkenalkan oleh dunia barat atau Arab kepada bangsa Melayu. 

Sebenarnya rumpun bangsa Melayu sudah pun memiliki sistem angka sendiri semenjak sekurang kurangnya 2000 tahun lalu atau lebih awal dari itu.

Yang paling awal adalah sistem angka rencong ( seperti gambar bawah) , Ia adalah sistem angka ori rumpun Melayu .

Ada banyak catitan batu bersurat Melayu silam yang ada tercatit angka.

1.Prasasti Kedudukan Bukit (Palembang )-683 masihi
2.Prasasti Kemboja- 683 masihi
3.Prasasti Talang Tuwo-608 saka.
4.Prasasti Dinaya (Jawa )-682 saka.
5.Prasasti Polengan -797 saka.
6.Prasasti Pinggan Tembaga (Suriakarta )-827 saka
7.Prasasti Gunung Tua - 946 saka
8.Prasasti Ganesa (Jawa Timur )-1056 saka.
9.Candi Singasari (Jawa Timur )-1214 saka.
10.Prasasti Penang Gungen- 1218 saka .
11.Candi Panataran (Jawa Timur )-1291 saka.
12.Batu Nisan Tralaya (Jawa Timur )-1301 saka.
13.Ngodoman (Jawa )-1371 saka.
14. Batu Nisan Ahmad Majnun Pengkalan Kempas (Port Dikson )- 1385 saka.
* Tahn 1 saka = 78 masihi.

Rujukan : Angka Melayu Sebelum Kedatangan Islam
Prof Shahrir Bin Mohamad Zain
UKM

Perjanjian Pangkor 1874







Lakaran gambaran Perjanjian Pangkor 1874 yang bermulanya campur tangan British di negeri negeri Melayu.

Gambar dibawah dikatakan adalah sebahagian dari dokumen perjanjian Pangkor .

Kredit kepada : Kelab Peminat Sejarah & Gambar Lama II




Isi kandungan:

“Bahawasanya keadaan huru-hara sedang berlaku dalam Kerajaan Perak disebabkan oleh ketiadaan pemerintah yang tetap di Negeri itu dan tidak wujud kuasa yang berkesan untuk melindungi rakyat dan untuk menjamin hasil usaha mereka, dan,

Bahawasanya sebilangan besar orang China yang diupah dan sejumlah besar wang yang dilaburkan dalam perusahaan bijih timah di Perak oleh rakyat British dan lain-lain yang bermastautin dalam Tanah Jajahan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen, dan lombong serta harta tersebut tidak dilindungi secukupnya, dan kegiatan lanun, pembunuhan, pembakaran sengaja berlaku dengan berleluasa di negeri tersebut, dan ini menyebabkan perdagangan dan kepentingan British terjejas teruk dan keamanan serta ketenteraman Petempatan British yang berjiranan dengannya kadang-kadang turut terancam, dan,

Bahawasanya sesetengah Pembesar semasa Kerajaan Perak telah menyatakan ketakmampuan mereka mengawal kacau bilau yang melanda sekarang ini, dan bersama-sama dengan mereka yang berkepentingan dalam perusahaan negeri ini telah memohon bantuan, dan,

Bahawasanya Kerajaan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen terikat oleh Syarat Persetiaan bagi melindungi Kerajaan tersebut dan membantu pemerintahnya, maka dengan ini,

Tuan Yang Terutama Sir Andrew Clarke, K.C.M.G. C.B., Gabenor Tanah Jajahan Negeri-Negeri Selat, sebagai mematuhi permintaan tersebut, dan dengan tujuan membantu pemerintah tersebut dan bagi mewujudkan penyelesaian yang berkekalan terhadap masalah di Perak, telah mencadangkan Perkara perkiraan yang berikut sebagai yang boleh mendatangkan manfaat bersama kepada Pemerintah Bebas Negeri Perak, rakyatnya, rakyat Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dan orang lain yang bermastautin atau yang berdagang di Negeri Perak, iaitu:-

Pertama. – Bahawa Raja Muda Abdulah diiktiraf sebagai Sultan Perak.
Kedua – Bahawa Raja Bendahara Ismail, yang sekarang ini menjadi Pemangku Sultan, dibenar mengekalkan gelaran Sultan Muda dengan diberi pencen dan sebuah Wilayah kecil diserahkan hak kepadanya.
Ketiga – Bahawa segala perlantikan Pegawai-pegawai besar lain yang dibuat masa Raja Bendahara Ismail menerima alat kebesaran diraja hendaklah disahkan.
Keempat – Bahawa kuasa yang diberikan kepada Orang Kaya Menteri keatas Larut oleh Al-Marhum Sultan hendaklah disahkan.
Kelima – Bahawa semua hasil negeri hendaklah dikutip dan semua perlantikan hendaklah dibuat atas nama Sultan.
Keenam – Bahawa Sultan menerima dan menyediakan sebuah kediaman yang sesuai untuk seorang Pegawai British yang dinamakan Residen, yang akan ditauliahkan ke istana Baginda, dan nasihatnya mestilah diminta dan diambil tindakan atas semua persoalan selain yang menyentuh agama Islam dan adat istiadat orang Melayu.
Ketujuh – Seorang Penolong Residen, iaitu seorang Pegawai British yang bertindak dibawah Residen Perak, dengan kuasa yang serupa dan tertakluk hanya kepada Residen tersebut hendaklah ditempatkan di istana Gabenor Larut.
Kelapan – Bahawa pembiayaan untuk Residen-Residen ini dan Perjawatan mereka hendaklah ditentukan oleh Kerajaan Negeri-Negeri Selat dan menjadi tanggungjawab pertama daripada hasil Negeri Perak.
Kesembilan – Bahawa peruntukan diraja yang mengawal selia pendapatan yang akan diterima oleh Sultan, Bendahara, Menteri, dan Pegawai lain hendaklah menjadi tanggungan seterusnya daripada hasil tersebut.
Kesepuluh – Bahawa pemungutan dan pengawalan segala hasil dan pentadbiran am negeri dikawal selia dibawah nasihat Residen-residen ini.
Kesebelas – Bahawa Persetiaan dimana Pulau Dinding dan pulau-pulau Pangkor telah diserahkan kepada Great Britain telah tersalah faham, dan dengan yang demikian, maka perlulah diselaraskan semula supaya dapat dikuatkuasakan tujuan sebenar para penggubal Persetiaan itu, dan dengan ini maka diisytiharkan bahawa sempadan wilayah yang diserahkan itu hendaklah diperbetulkan seperti berikut: Dari Bukit Segari, seperti yang tertera dalam Lembaran Carta No. 1 Selat Melaka, yang salinannya dilampirkan, dengan bertanda A, merentas lurus hingga kelaut, kemudiannya di sepanjang [antai laut ke selatan, ke Pulau Katta di sebelah Barat, dan dari Pulau Katta merentang ketimur laut kira-kira sepanjang lima batu, dan kemudiannya ke utara, iaitu ke Bukit Segari.
Kedua belas – Bahawa legih selatan Sungai Krian, iaitu bahagian kawasan yang salirannya masuk ke sungai itu dari selatan diisytiharkan sebagai Wilayah British, sebagai membetulkan Sempadan Province Wellesley (Seberang Perai). Sempadan itu hendaklah ditandakan oleh Pesuruhjaya, seorang yang dinamakan oleh Kerajaan Negeri-Negeri Selat, dan seorang lagi dinamakan oleh Sultan Perak.
Ketiga belas – Bahawa apabila keadaan kacau-bilau sekarang ini sudah terhenti di Negeri Perak dan keamanan dan ketenteraman telah kembali pulih dalam kalangan puak-puak yang berbalah di Negeri itu, maka langkah-langkah segara dibawah kawalan dan seliaan seorang atau lebih daripada seorang Pegawai British hendaklah dilaksanakan bagi memulihkan sejauh mana yang boleh dilakukan kerja-kerja perlombongan dan pemilikan alat jentera, dll., seperti keadaan sebelum berlaku kacau-bilau, serta bagi menguruskan pembayaran pampasan kerana kerosakan, dan keputusan pegawai atau pegawai-pegawai itu dalam hal sedemikian adalah muktamad
Keempat belas – Menteri Larut berjanji mengaku sebagai hutangnya kepada Kerajaan Negeri-Negeri Selat untuk segala caj dan perbelanjaan yang ditanggung atas penyiasatan ini, dan juga atas caj dan perbelanjaan yang ditanggung oleh Tanah Jajahan Negeri-Negeri Selat dan Great Britain dalam usaha mereka bagi mewujudkan ketenteraan di Negeri Perak dan keselamatan perdagangan.
Perkara diatas telah dibaca dan telah dijelaskan kepada mereka yang berkenaan yang telah memahami perkara-perkara itu dan masing-masing bersetuju dan menerimanya sebagai mengikat diri mereka dan Waris serta Pengganti mereka.

Perjanjian ini dibuat dan diikat di Pulau Pangkor dalam Tanah Jajahan British pada dua puluh hari bulan Januari tahun Masihi satu ribu lapan ratus tujuh puluh empat.

Disempurnakan dihadapan saya

ANDREW CLARKE,
Gabenor, Panglima Besar dan Laksamana Madya
Negeri-Negeri Selat”
____________________________________________________________________
Cap Mohor Sultan Perak
Cap Mohor Bendahara Perak
Cap Mohor Temenggung Perak
Cap Mohor Menteri Perak
Cap Mohor Syahbandar Perak
Cap Mohor Raja Mahkota Perak
Cap Mohor Laksamana Perak
Cap Mohor Dato’ Sagor

__________________________________

Nota kaki: Paparan ini merupakan terjemahan isikandung Perjanjian Pangkor ke Bahasa Malaysia moden oleh Institut Terjemahan Negara dan bukannya transkripsi rumi dari tulisan Jawi yang asal.

Sumber: Perjanjian & Dokumen Lama Malaysia (1791-1965), Institut Terjemahan Negara, Kuala Lumpur, 2008.

Tuan Hj Salleh atau Kiai Salleh

Lagenda Sejarah Muar

Lagenda Sejarah Muar

Dari Sejarah Lisan dan Sastera Rakyat Orang Sakai Atau Melayu Asli

Dalam lagenda atau catatan penceritaan purba seperti mitos dan legenda ada mencatatkan prihal Muar yang pada ketika itu dikenali sebagai Kole, Kouli dan Cole. Kouli ada dalam catatan India tetapi kepastiannya sebagai Muar masih dipersoalkan oleh beberapa sarjana dan pakar sejarah. Dalam buku hikayat mitos atau lagenda Melayu iaitu dalam Hikayat Merong Mahawangsa dan Hikayat Malim Deman dan dalam buku sejarah At Tarikh Negeri Kedah ada juga disebut tempat bernama Muar. Catatan Cina juga ada menukil mengenai Cole. Apa pun kita biarkan pakar sejarah menentukannya apabila bukti sainstifik diperolehi.

Dalam tulisan ini Kouli buat sementara ini dirujuk sebagai Muar kerana ada catatan daripada sejarah lisan atau sejarah rakyat Kouli itu daripada perkataan Kuala yang dikenali oleh orang sakai atau orang asal (sakai laut dan sakai darat). Mereka mengatakan sebelum Muar bernama Muar , Muar bernama Teluk Dalam dan sebelum bernama Teluk Dalam, Muar dipanggil Kuala. Ini bermakna sebelum Muar bernama Muar, ia telah terkenal sebagai sebuah tempat bernama Teluk Dalam dan sebelum Teluk Dalam, Muar dikenali sebagai Kuala. Kepelatan orang asing terutama lidah India adalah munasabah untuk dipercayai atau disesuaikan hingga ia dikenali sebagai Kouli atau Kole.

Kerajaan Kouli berpusat di pergigian air atau pantai Teluk Dalam iaitu daratan Bakri Batu 2 ke Kaki Bukit Treh menjalur ke Kesang Tasek dan Sungai Mati. Di sebelah selatan menghala kaki Bukit Mor Parit Jawa. Bukit Pasir di Parit Bakar yang ada sekarang dikatakan asalnya sebuah pulau pasir yang terlongok daripada pasir dari hulu Sungai Muar dan tolakan arus air laut. Akhirnya ia membentuk pulau dan bukit pasir dan lama kelamaan bercantum dan menjadi daratan. Tanah daratan ini semakin lama semakin menjulur ke luar beberapa ribu tahun sehinggalah sebagaimana yang terdapat pada hari ini. Proses ini masih terus berlaku. Daratan yang ada sekarang yang melunjur ke pantai dari Bakari Batu 2 atau Tanah Perkuburan Bakri Batu 2 itu merupakan lautan pada zaman dahulu.

Ketika Haji Mohd Noh bin Lebai Haji Mohamad (1850-1923) seorang saudagar raja Cerebon membuka Bakri yang pada asalnya dikenali sebagai Kampung Jawa pada tahun 1869, beliau ada mencatatkan (Syair Orang Jawi, 1903) bahawa kawasan Batu 2 hingga ke Pekan Muar atau Kuala Bentayan merupakan paya atau tanah rendah sentiasa berair. Air pasang boleh naik sampai ke Bakri Batu 3. Mereka bersampan membawa masuk barang keperluan orang-orang Jawa, kaum kerabat Jawanya dari Cerebon di pedalaman setelah melurus dan meletakkan ban atau benting di kiri kanan anak sungai yang terkenal sebagai sungai Bentayan itu.

Dari Bakri Batu 2 ke Bakri Batu 3, kawasan itu didiami oleh anak-buah dan kaum kerabatnya yang berasal daripada Kerabat diraja Melayu Pagoh. Orang Pagoh juga dikatakan berasal dari persemendaan keturunan sultan Melaka dengan kerabat diraja Pahang. Haji Mohd Noh sendiri telah beristerikan anakanda Tun Mansor bin Tun Ali Bendahara Pahang dan telah dikurnia Sungai Raya. Haji Mohd Noh telah menggalakkan mereka berpindah ke Bakri dari Pagoh ketika diburu oleh orang suruhan Sultan Ahmad Pahang, kekanda kepada Tun Mansor yang menuduh Tun Mansor dengan pengikutnya ingin memberontak. Mereka mempercayai kawasan Bakri sesuai untuk dihuni dan didiami mereka kerana mereka percaya tapak itu adalah bekas tapak kota kerajaan Melayu purba (Kouli) mengikut petunjuk ahli para normal atau pawang diraja mereka. Banyak juga orang-orang Pahang telah tinggal di Pekan Muar dan Padang dan bersemenda dengan kaum kerabat Orang Kaya Muar yang berketurunan Melayu Bugis Campa kerana mereka juga mempunyai pertalian darah dengan mereka.

Hal mengenai Parit Jawa pula, pada zaman dahulu adalah lautan dan pantainya terletak di kaki Bukit Mor juga ada tercatat dalam Sejarah Pembukaan Parit Jawa ( Syair Abd Rahman, 1909) dan juga tercatat dalam Buku Hikayat Ibrahim Munshi (1871). Tanah-tanah lumpur dan kelodak yang dibawa turun oleh Sungai Muar akhirnya membentuk daratan yang begitu subur. Kawasan ini pernah suatu ketika dahulu dikenali sebagai Padang kerana tanah pamahnya yang rata dan meluas saujana mata memandang. Di puncak Bukit Mor pernah tercatat terdapat istana raja Melayu Cempa ketika kerajaan Melayu atau empayar Melayu Cempa berkuasa dahulu.

Mengikut tempuh waktu pula, Muar dikatakan dikenali disekitar abad ke 13 di zaman keagongan Majapahit. Teluk Dalam dalam zaman Hindu Budha sekitar abad ke 9 dan Kouli yang tercatat dalam kitab Hindu di antara abad pertama hingga ke 9. Kebudayaan Hindu meluas dan tersibar ke Asia Tenggara sejak abab ke 2 sebelum masihi. Apa yang hendak dicatatkan di sini meskipun para sarjana menganggapnya adalah dari sumber mitos yang tidak boleh dihujah dan bukan sebagai realiti adalah beberapa jangkaan seperti nama Muar yang tersebut di atas dan beberapa peristiwa daripada sejarah lisan mahupun sastera rakyat berkenaan kewujudan Muar. Ketepatan mahupun realitinya kita biarkan saja para pakar mengkaji dan menelitinya. Mungkin pada hari ini kita tidak banyak ada kemudahan dan peralatan yang dapat mengesan dan mengesahkan lagenda atau mitos yang mungkin berasal dari realiti juga.

Mengikut sejarah, orang asli Melayu berasal dari pergunungan dan lembah di utara Thailand dan selatan Cina. Ada juga sejarah purba mencatat penghijrahan manusia dari pergunungan Himalaya di Utara India menyebar ke utara, ke barat, ke selatan dan ke timur dan sebagainya. Penghijarahan ke timur ini dipercayai melahirkan sebuah suku bangsa besar Melayu yang berkerajaan di Utara Thailand dan di Selatan China. Kemudian penghijrahan terus berlaku ke arah selatan melalui Segenting Kera dan Semenanjung Tanah Melayu dan terus bertebaran ke serata kepuluan di Lautan Hindi, Laut Selatan dan Lautan Pasifik hingga ke kepulauan Hawai dan pulau-pulau di barat Benua Amerika. Manakala penghijarahan suku bangsa Melayu ke sebelah barat pula merentasi Lautan Hindi sampai ke kepulauan Madagascar. Penghijarahan ini berlaku pada abad sebelum masihi dalam beberapa siri gelombang besar dan kecil hingga dibahagi oleh pakar sejarah mengikut beberapa zaman.

Berbalik mengenai penceritaan Muar terdapat mitos mengenai Si Tenggang yang di sumpah menjadi batu di kuala sungai Muar. Tempat ini dikenali sebagai Bukit Treh Muar. Pernah ahli sejarah mengkajinya dan mengakui perkataan treh itu bererti batu pejal keras yang asalnya terjadi dari cairan batu panas yang membeku pada darjah suhu yang sangat tinggi. Ia sangat keras dan dikenali sebagai batu treh dalam bahasa Melayu Asli (Orang Sakai Laut dan Sakai Darat). Batu ini dipuja dan dipercayai mempunyai kuasa ajaib dalam kepercayaan adat resam mereka.

Prihal orang sakai datang memuja batu treh yang dianggap suci termasuk kawasan terdapatnya batu treh, di Bukit Treh berakhir di sekitar 1930-an dan semenjak zaman Jepun tiada lagi kedengaran Orang Sakai Darat mahupun Sakai Laut datang lagi ke Bukit Treh Muar untuk memuja Batu treh mahupun roh nenek moyang. Ahli Persatuan Sejarah Muar sebelum merdeka sempat mencatat bahawa orang sakai ini percaya batu Bukit treh berasal dari langit atau batu yang terjadi hasil dari panahan petir. Mereka juga percaya Bukit Treh Muar berasal daripada sebuah kapal atau kapal Si Tenggang yang telah menderhaka kepada orang tuanya dan telah disumpah oleh ibunya menjadi batu. Kapal Si Tenggang telah tersadai dipukul ribut di tebing pantai dan dipanah petir hingga menjadi batu. Kedudukannya menghalang laluan air sungai Muar dan isi kandungannya telah menjadikannya membentuk sebuah bukit.

Lebih menarik lagi, komuniti orang sakai ini mengaku Si Tenggang adalah dari keluarga orang asli (orang sakai). Prihal kuasa sumpah menyumapah ini memang terkenal dan dipercayai dan banyak disebut dan diceritakan dalam sastera rakyat dan sejarah lisan. Kuasa jin, hantu dan syaitan dianggap begitu kuat dan sangat mempengaruhi kehidupan orang asli ini. Terdapat juga sejarah lisan dari kalangan mereka mengatakan bahawa pada suatu ketika di kaki Bukit Treh terdapat sebuah kuil Hindu yang besar diperbuat daripada emas yang dikumpulkan dari gunung ledang. Ramai penganut hindu dan sami mereka datang berkampung di kuil itu terlebih dahulu sebelum mendaki ke kuil suci mereka yang terdapat di puncak gunung Ledang. Kuil ini dipercayai telah terbenam atau tertimbus 100 kaki ke dasar pemukaan tanah sekarang berikutan berlakunya banjir besar di zaman dahulu. Orang asli percaya kuil itu masih ada lagi di dalam tanah di kaki Bukit Treh berdasarkan penceritaan Tok Batin atau pawang mereka.

Sejarah Muar memang begitu unik. Muar juga merupakan sebuah daerah di Johor yang memiliki banyak cerita lisan dan sastera rakyat di negara ini. Usaha mengkajinya masih terbatas. Dikesempatan akan datang, Tun Sheikh akan menulis serba sedikit mengenai Gunung Ledang yang dikenali sebagai Ophir dan pernah tercatat di dalam Kitab Taurat dan Zabur. Kajian lisan tempatan ada menceritakan sebuah kampong yang pernah didiami atau dibuka oleh orang bermata biru pada zaman dahulu kala dan hingga ke hari ini terdapat keturunan mereka yang telah berbaur dan bersemenda dengan pelbagai suku bangsa Melayu sehingga dikatakan mata biru mereka tidak berwarna biru lagi kecuali kelabu. Kampong yang dimaksudkan bernama Gemir atau Gemih yang terletak di kaki Gunung Ledang.