Implikasi Sosiobudaya Kepada Guru

Permohonan Guru

GURU yang dedikasi akan mengajar dengan penuh bijaksana dan bersikap profesional dalam membimbing murid untuk mencapai potensi diri dari segi akedemik dan sosial.. Pemahaman tentang sosiobudaya murid adalah perlu kerana ianya dapat membantu guru menyediakan proses pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan latar belakang murid.

Guru perlu prihatin dengan latar belakang murid, taraf sosioekonomi, tempat tinggal, budaya, adat resam, kepercayaan dan agama yang dianuti. Dengan itu, guru seharusnya memberikan layanan yang adil kepada setiap muridnya. Pengetahuan tentang sosiobudaya setiap individu dapat membantu guru mengajar tanpa mengelompokkan murid mengikut kaum atau kumpulan tertentu. Guru perlu melayan keperluan dengan mengambil kira faktor persekitaran tempat tinggal murid, status ekonomi keluarga dan gaya pembelajarannya.

Pembelajaran koperatif adalah satu strategi yang sesuai digunakan dalam kumpulan muridheterogenous, ini kerana murid akan dapat berkongsi pengetahuan dan pengalaman. Ini dapat membantu mengeratkan hubungan dan mewujudkan kerjasama dalam pelbagai sosiobudaya.

Menguruskan murid yang berbagai ragam memerlukan kebijaksanaan guru mewujudkan peraturan dan rutin bilik darjah yang kondusif. Pematuhan peraturan menjadi satu keperluan untuk mewujudkan suasana yang terkawal. Susun atur murid di dalam kelas perlu bersesuaian agar murid dari pelbagai golongan dapat berinteraksi sesama mereka tanpa ada sekatan budaya. Melalui cara ini satu suasana pembelajaran yang interaktif akan terbentuk dan menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan.

Guru haruslah menghormati muridnya serta bersikap adil dan tidak berat sebelah terhadap satu etnik sahaja.. Mengajar tanpa membezakan bangsa murid akan dapat membantu guru memahami tingkah laku dan luahan perasaan muridnya.

Perbezaan sosiobudaya murid yang wujud perlu ditangani supaya tidak ada murid yang berasa mereka dipinggirkan oleh guru. Keadaan ini menjamin semua murid berpeluang mengambil bahagian dalam setiap aktiviti yang dijalankan oleh guru dalam kelas. Kebijaksaan guru mengendalikan murid berbeza budaya akan mewujudkan pergaulan positif dan tidak berkelompok dalam sesuatu komuniti kecil bilik darjahnya.

No comments:

Post a Comment